TEHRAN: Iran mengeluarkan amaran keras bahawa ia akan melancarkan serangan balas terhadap kemudahan tenaga dan bekalan air di Teluk sekiranya Amerika Syarikat (AS) meneruskan ugutan menyerang grid elektrik negara itu.
Menurut laporan Reuters, ancaman tersebut menimbulkan kebimbangan besar di rantau Teluk yang bergantung hampir sepenuhnya kepada loji penyahgaraman air laut bagi bekalan minuman harian.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini menetapkan tarikh akhir pada Isnin, sekitar pukul 7.45 malam waktu EDT, dengan memberi amaran bahawa serangan akan dilancarkan terhadap loji janakuasa Iran sekiranya Tehran gagal membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.
Ketegangan yang semakin memuncak itu turut menggoncang pasaran minyak global.
Harga minyak dilaporkan berlegar tidak menentu pada sesi dagangan awal di Asia, susulan kebimbangan serangan balas terhadap infrastruktur awam.
Walaupun berdepan lebih tiga minggu pengeboman hebat oleh AS dan Israel yang didakwa melemahkan keupayaan peluru berpandu Iran, Tehran masih menunjukkan kemampuan untuk bertindak balas.
Siren amaran serangan udara dilaporkan berbunyi di beberapa kawasan utara dan tengah Israel termasuk Tel Aviv, Tebing Barat dan Gaza, memberi isyarat kemungkinan serangan peluru berpandu dari Iran.
Jurucakap tentera Iran, Ebrahim Zolfaqari berkata, sekiranya infrastruktur bahan api dan tenaga Iran diserang, semua kemudahan tenaga, teknologi maklumat serta loji penyahgaraman air milik AS dan sekutunya di rantau Teluk akan menjadi sasaran balas.







