Iran Undang Anwar Lawatan Rasmi Ke Tehran

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian, sempena Aidiladha, di mana beliau menyampaikan ucapan Eid Mubarak serta doa daripada seluruh rakyat Malaysia buat rakyat Iran.

Dalam perbualan itu, Anwar menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman dan segala ketegangan serta pertumpahan darah dapat dihentikan melalui jalan damai, hikmah dan diplomasi yang bertanggungjawab.

“Saya menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman dan segala ketegangan serta pertumpahan darah dapat dihentikan melalui jalan damai, hikmah dan diplomasi yang bertanggungjawab,” katanya.

Malaysia, tegas beliau, kekal berpendirian mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan termasuk serangan dron serta tindakan ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang hanya akan terus mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa.

“Malaysia kekal berpendirian tegas mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan termasuk yang melibatkan serangan dron serta tindakan ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang hanya akan terus mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan atas kerjasama Iran dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz baru-baru ini, sambil menekankan bahawa semangat persahabatan dan saling menghormati harus terus diperkukuh.

“Sikap saling menghormati dan semangat persahabatan seperti inilah yang harus terus diperkukuh dalam hubungan antara negara,” katanya.

Presiden Iran pula menyatakan penghargaan terhadap pendirian konsisten Malaysia yang menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan di pentas antarabangsa, selain mengundang Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Tehran bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik.

“Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai.

“Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,” kata Anwar.

Anda Mungkin Berminat