NEW YORK: Islam Makhachev melakar sejarah baharu dalam dunia seni bela diri campuran apabila menewaskan Jack Della Maddalena di UFC 322, sekali gus merangkul kejuaraan welterweight dan bergelar juara dua divisyen.
Pertarungan lima pusingan di Madison Square Garden menyaksikan Makhachev menguasai gelanggang sepenuhnya dengan kawalan grappling yang kemas, sebelum diumumkan pemenang melalui keputusan sebulat suara 50-45, 50-45, 50-45.
Kemenangan itu bukan sahaja mengekalkan rekod cemerlangnya dengan 16 kemenangan berturut-turut tetapi juga menjadikan beliau pejuang ke-11 dalam sejarah UFC yang berjaya memegang gelaran dalam dua divisyen berbeza.
Jack Della Maddalena, juara bertahan dari Australia cuba bangkit dengan beberapa cubaan kuncian termasuk armbar, namun gagal menandingi kekuatan dan ketenangan Makhachev di lantai.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan status Makhachev sebagai pejuang ‘pound-for-pound’ terbaik dunia, mengangkat nama Dagestan sebagai kuasa besar dalam arena MMA moden.
UFC 322 turut menyaksikan beberapa kejutan lain termasuk Leon Edwards yang tewas KO buat kali pertama dalam kariernya serta Valentina Shevchenko menewaskan Zhang Weili dalam pertarungan ‘co-main event’.








