Isma Aliff, Bintang Era 1980-an Meninggal Dunia

AMPANG: Dunia hiburan tanah air kehilangan seorang lagi bintang apabila pelakon dan penyanyi era 1980-an, Isma Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, meninggal dunia pagi Rabu di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, Selangor.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8.30 pagi, menurut kenyataan ahli keluarga yang memaklumkan berita duka itu.

“Assalamualaikum. Innalillahiwainnalillahirajiun. Isma Alif atau Latiff telah menghembuskan nafasnya, kembali kepada penciptanya baru sekejap ini. Jenazahnya masih di rumah,” tulis kenyataan tersebut.

Adiknya yang dikenali sebagai Angah berkata, Allahyarham sudah lama bergelut dengan masalah kesihatan dan keadaannya semakin merosot sejak seminggu lalu.

Isma Aliff, 62, merupakan antara wajah popular era 1980-an yang menyerikan pelbagai drama, filem dan program hiburan.

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pelakon, malah aktif sebagai pelawak dan pengacara, sering digandingkan bersama rakan-rakan komedi tanah air pada zaman kegemilangannya.

Antara karya yang dibintanginya meninggalkan kenangan manis buat peminat, menjadikan beliau salah seorang figura yang mencorakkan landskap hiburan Malaysia ketika itu.

Sebelum ini, Allahyarham pernah dimasukkan ke Hospital Ampang selepas mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru sehingga ditidurkan pada 15 Disember 2023.

Pemergian Isma Aliff pastinya dirasai oleh keluarga, sahabat dan peminat yang membesar dengan karya serta jenaka beliau.

Anda Mungkin Berminat