PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan bahawa beliau menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tersebar luas di aplikasi WhatsApp.
Menerusi satu balasan WhatsApp kepada Malaysia Bangkit, bekas Perdana Menteri itu menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar.
“Tak betul, tak ada rancangan pun,” katanya ringkas.
Dakwaan mengenai Ismail Sabri menarik sokongan tersebar meluas di beberapa kumpulan WhatsApp sejak semalam, mencetuskan spekulasi tentang kedudukan Kerajaan Perpaduan.
Ia turut membangkitkan persoalan tentang kesannya terhadap kestabilan politik negara sekiranya dakwaan itu benar.
Kerajaan Perpaduan ketika ini disokong oleh 153 Ahli Parlimen dan sekiranya benar Ismail Sabri menarik sokongan, jumlah itu akan berkurangan kepada 152 kerusi yang sama sekali tidak menjejaskan kedudukan kerajaan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri kini berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan disenaraikan sebagai suspek dalam satu kes yang belum didedahkan butirannya.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut sama ada siasatan itu ada kaitan dengan dakwaan penarikan sokongan yang tersebar.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan penemuan wang tunai RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas bernilai RM7 juta melalui penggeledahan di kediaman empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri itu.
Ini termasuk tiga lokasi lain yang dipercayai sebagai ‘safehouse’. Wang tunai ditemui dalam pelbagai mata wang asing, termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.