Ismail Sabri sambung sesi keterangan di SPRM

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi meneruskan proses memberikan keterangan berkaitan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.

Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Bera itu tiba di perkarangan bangunan SPRM sekitar jam 8.46 pagi.

Ismail Sabri disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dana yang digunakan untuk tujuan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Siasatan itu dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Ismail Sabri merupakan suspek utama dalam kes berkenaan, susulan rampasan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang.

Turut dirampas 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam sebuah ‘safe house’ ketika serbuan dijalankan.

SPRM turut membekukan 13 akaun bank bagi membantu siasatan.

Ismail Sabri sebelum ini hadir ke SPRM pada Januari tahun lalu bagi memberi keterangan berhubung dakwaan perbelanjaan sebanyak RM700 juta untuk tujuan publisiti kerajaan semasa pentadbirannya.

Pada 10 Februari lepas, beliau menyerahkan maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari.

Beliau sepatutnya hadir ke SPRM pada 5 Mac lalu namun tidak dapat berbuat demikian atas faktor kesihatan dan diberikan sijil cuti sakit.

Selepas tempoh cuti itu berakhir pada 12 Mac, beliau hadir bagi memberi keterangan.

Setakat ini, SPRM telah merekodkan keterangan daripada 32 saksi, termasuk empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat