TEHRAN: Israel Defense Forces (IDF) dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS) dilaporkan melancarkan serangan mengejut ke atas Iran hari ini, mencetuskan letupan kuat di sekitar ibu negara, Tehran.
Situasi itu memaksa Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, dipindahkan ke lokasi rahsia sebagai langkah keselamatan.
Susulan operasi berkenaan, IDF mengeluarkan amaran nasional menggesa seluruh rakyat Israel berada di kawasan perlindungan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan balas peluru berpandu dari Iran.
Menurut kenyataan rasmi IDF, amaran itu bersifat proaktif bagi melindungi orang awam sekiranya berlaku pelancaran peluru berpandu ke arah wilayah Israel.
Sumber keselamatan yang dipetik portal berita Walla turut mengesahkan penglibatan langsung AS dalam operasi tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini memberi bayangan akan menggunakan tindakan ketenteraan sekiranya rundingan nuklear gagal mencapai persetujuan.
Media Iran melaporkan sasaran serangan termasuk Direktorat Perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta beberapa lokasi strategik di tengah Tehran.
Sebagai langkah tindak balas, Iran menutup sepenuhnya ruang udaranya kepada semua penerbangan awam.
Seorang pegawai keselamatan Israel memaklumkan operasi itu telah dirancang sejak berbulan-bulan lalu, dengan pelaksanaannya ditetapkan beberapa minggu kebelakangan ini.
Antara objektif utama serangan berkenaan adalah untuk melemahkan ancaman terhadap keselamatan domestik Israel, khususnya melibatkan tapak pelancaran peluru berpandu dan pangkalan pesawat tanpa pemandu (UAV).
Setakat ini, belum ada laporan mengenai pelancaran peluru berpandu dari Iran ke arah Israel, namun pegawai keselamatan memberi amaran bahawa serangan balas berkemungkinan berlaku dalam tempoh terdekat.
Ketegangan di Asia Barat kini berada pada tahap tertinggi dengan penutupan ruang udara bukan sahaja di Iran dan Israel, malah beberapa negara jiran turut bersiap sedia menghadapi kemungkinan konflik yang lebih meluas.
Baca juga:








