Israel Biadab Label Misi Flotilla Sebagai ‘Pengganas’ – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan Zionis Israel yang melabel misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai kumpulan pengganas.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai biadab dan tidak berasas kerana flotilla berkenaan membawa bantuan kemanusiaan, bukannya senjata atau peralatan ketenteraan.

“Mereka tidak bawa senjata, tidak membunuh orang. Mereka bawa makanan, minuman dan ubat-ubatan. Bagaimana boleh dipanggil pengganas? Ini satu kenyataan yang biadab,” tegas Anwar dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, rejim Israel adalah ‘pengganas sebenar’ kerana menindas rakyat Palestin, menyekat bantuan kemanusiaan dan membunuh orang awam yang tidak bersenjata.

Anwar berkata tindakan Israel melabel aktivis sebagai pengganas hanya bertujuan menghalalkan sekatan dan kekejaman yang dilakukan ke atas Gaza.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, yang belayar membawa bekalan makanan serta ubat-ubatan ke Gaza sebelum ditahan tentera Israel.

Anwar sebelum ini menegaskan, Malaysia akan terus menyokong misi kemanusiaan antarabangsa, malah menggerakkan usaha diplomatik bagi membebaskan semua aktivis yang ditahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat