Israel Biadab, Malaysia Tuntut Pembebasan Aktivis GSF – Anwar

PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan kecaman paling tegas terhadap tindakan rejim haram Zionis Israel yang memintas misi Global Sumud Flotilla (GSF) melibatkan lebih 100 aktivis termasuk 16 rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan media di laman rasmi Facebook pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan biadab rejim tersebut bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia, malah melanggar undang-undang antarabangsa.

“Malaysia lantas mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera ke semua aktivis yang ditahan,” katanya.

Anwar berkata, tindakan Israel memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan serta membela rakyat Palestin.

“Malah katanya, memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan dan membela rakyat Palestin,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak lagi tunduk kepada kezaliman.

“Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, penindasan terhadap warga Palestin dan mereka yang menggerakkan bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera, sambil menuntut dunia bersatu menentang kebobrokan rejim Zionis.

Anda Mungkin Berminat