Israel Bom Sempadan Lubnan-Syria, Empat Terbunuh

LEBANON: Pasukan Israel telah mengebom sebuah kenderaan berhampiran sempadan Lubnan dengan Syria, mengakibatkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan.

Serangan udara Israel itu berlaku awal pagi Isnin, kata kementerian dalam satu kenyataan.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa salah seorang mangsa ialah warga Syria bernama Khaled Mohammad al-Ahmad.

Tentera Israel mengesahkan serangan udara tersebut dengan mendakwa dalam satu ciapan di X bahawa ia menyasarkan anggota Jihad Islam Palestin di Lubnan.

Namun, ia tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Tentera Israel berkata, serangan itu berlaku di kawasan Majdal Anjar di Lubnan.

Israel telah melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas Lubnan walaupun telah bersetuju dengan gencatan senjata bersama kumpulan bersenjata Hezbollah pada November 2024.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tentera Israel telah melancarkan lebih daripada 10,000 serangan udara dan darat dalam tempoh setahun selepas ia bersetuju untuk menghentikan permusuhan.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB berkata, pada November tahun lalu bahawa ia telah mengesahkan sekurang-kurangnya 108 korban awam akibat serangan Israel sejak gencatan senjata itu, termasuk sekurang-kurangnya 21 wanita dan 16 kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 11 orang awam Lubnan juga telah diculik oleh tentera Israel dalam tempoh tersebut, kata pejabat itu.

Anda Mungkin Berminat