PETALING JAYA: Biro Hubungan Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa rejim Zionis Israel melaksanakan pembunuhan terancang terhadap wartawan di Gaza bagi menutup bukti jenayah perang dan genosid terhadap rakyat Palestin.
Menurut Biro berkenaan, serangan ke atas pengamal media sejak konflik tercetus Oktober tahun lalu membuktikan Israel sengaja mensasarkan wartawan kerana laporan mereka mendedahkan kekejaman rejim berkenaan kepada dunia.
“Ini bukan sekadar serangan rambang. Israel tahu wartawan adalah saksi utama yang merekodkan bukti genosid dan jenayah perang mereka. Membunuh wartawan bermakna membunuh kebenaran.
“Laporan badan antarabangsa mendapati lebih 160 wartawan terbunuh di Gaza sejak perang bermula, menjadikan angka itu yang tertinggi dalam sejarah konflik moden.
“Bilangan itu terlalu besar untuk dianggap kebetulan, sebaliknya ia menggambarkan strategi sistematik bagi memastikan penderitaan sebenar rakyat Palestin tidak didedahkan” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, pembunuhan itu jelas melanggar Konvensyen Geneva Keempat dan undang-undang antarabangsa yang mewajibkan perlindungan terhadap orang awam, termasuk wartawan.
Dalam masa sama, biro itu menggesa kerajaan Malaysia, negara ASEAN dan komuniti antarabangsa mendesak siasatan segera oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi membawa pemimpin politik dan tentera Israel ke muka pengadilan.
“Setiap hari tanpa tindakan hanya menambah korban nyawa dan mencemar maruah kemanusiaan sejagat. Dunia mesti bertindak sekarang,” tegasnya.
Baca juga: