Israel Gempur Gaza: 49 Terbunuh, 6,000 Kehilangan Tempat Tinggal

GAZA: Serangan udara bertubi-tubi oleh tentera Israel ke atas Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 49 nyawa rakyat Palestin dan menyebabkan lebih 6,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut agensi Pertahanan Awam Palestin.

Jurucakap agensi itu, Mahmoud Basal, menyatakan bahawa serangan tersebut bukan sahaja meratakan bangunan kediaman, malah turut memusnahkan sekolah-sekolah yang dijadikan pusat perlindungan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Penduduk Bandar Gaza kini berdepan keadaan yang amat sukar di bawah kepungan dan serangan tanpa henti,” katanya.

Saksi di lokasi melaporkan bahawa jet pejuang Israel melancarkan serangan setiap 10 hingga 15 minit, menyasarkan kawasan kediaman dan kemudahan awam.

Corak serangan itu menyebabkan orang awam tidak sempat menyelamatkan diri, sekali gus meningkatkan angka korban dan kecederaan.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, yang membuat liputan langsung dari Bandar Gaza, menyifatkan serangan itu sebagai usaha sistematik untuk menekan kawasan yang padat dengan keluarga pelarian.

“Kini, mereka lebih tertumpu di bahagian barat bandar,” ujarnya.

Namun begitu, menurut Hani, ramai penduduk tetap memilih untuk kekal di Bandar Gaza atau kembali semula selepas gagal bertahan di kem al-Mawasi di bahagian selatan, meskipun serangan terus menggempur kawasan tersebut.

Anda Mungkin Berminat