GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan lebih 200 kematian termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Serangan itu dikatakan sebagai yang terbesar sejak gencatan senjata pada Januari lalu dan berlaku selepas rundingan dengan Hamas menemui jalan buntu.
Jurucakap tentera Israel dalam kenyataan rasmi berkata, operasi itu mensasarkan infrastruktur Hamas dan kepimpinannya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut memberi amaran bahawa serangan lanjut mungkin akan dilakukan dalam usaha untuk menekan Hamas agar membebaskan tebusan yang masih ditahan.
Serangan bertali arus itu menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan seperti Bandar Gaza, Deir al-Balah dan Rafah.
Serangan mengakibatkan runtuhan bangunan, mayat bergelimpangan dan penduduk ketakutan mencari perlindungan.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan bahawa jumlah kematian dijangka meningkat susulan ramai yang mengalami kecederaan parah.
Sementara itu, keadaan kemanusiaan di Gaza semakin memburuk dengan hospital-hospital kehabisan bekalan ubat dan bahan keperluan asas.
Organisasi hak asasi manusia menggesa gencatan senjata segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada ribuan mangsa yang terjejas.
Di peringkat antarabangsa, beberapa negara mengutuk serangan itu dan menggesa penyelesaian diplomatik bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar.
Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat dilaporkan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai serangan itu dan terus menunjukkan sokongan terhadap tindakan Israel.
Situasi di Gaza terus tegang dengan kebimbangan bahawa konflik itu boleh merebak lebih luas jika tiada tindakan segera diambil untuk menghentikan pertempuran.