Israel lancar serangan bom, hospital di Gaza lumpuh sepenuhnya

GAZA: Tentera Israel dengan kejamnya melancarkan serangan bom ke atas sebuah hospital di Gaza sehingga lumpuh sepenuhnya.

Memetik laporan Al Jazeera, hospital berkenaan dikenali sebagai Hospital Arab Al-Ahli yang satu-satunya fasiliti kesihatan buat rakyat Palestin sudah tidak lagi beroperasi sehingga menyebabkan seorang pesakit kanak-kanak syahid akibat kesejukan selepas dipindahkan.

Difahamkan, serangan terbabit berlaku selepas arahan pemindahan beramai-ramai yang baharu dikeluarkan oleh tentera Israel kepada penduduk di Kem Pelarian Nuseirat di tengah Gaza serta kawasan selatan Khan Younis.

Sementara itu, satu delegasi dari Hamas kini berada di Kaherah bagi menghadiri rundingan gencatan senjata yang diketuai oleh pihak perantara Mesir.

Wartawan Al Jazeera yang berada di lapangan ketika melakukan tinjauan ringkas di dalam Hospital al-Ahli menyifatkan keadaan di sana sebagai sangat mengejutkan.

Hospital tersebut kini tidak lagi berfungsi sepenuhnya dan tidak mampu memberikan sebarang rawatan perubatan.

Susulan daripada itu, kebanyakan pesakit terpaksa ditinggalkan tanpa rawatan alternatif yang sesuai, khususnya di bahagian utara Semenanjung Gaza.

Situasi tersebut, bukan hanya melibatkan satu atau dua hospital tetapi terdapat 36 hospital lagi termasuk kemudahan kesihatan swasta telah dimusnahkan dan tidak lagi beroperasi.

Kini di seluruh kawasan utara Gaza, termasuk Bandar Gaza, kini tiada sistem penjagaan kesihatan yang berfungsi.

Hospital Indonesia dan Hospital Kamal Adwan juga tidak mempunyai kapasiti untuk memberikan rawatan.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 50,912 warga Palestin telah terbunuh dan 115,981 cedera dalam perang yang dilancarkan Israel di Gaza.

Pejabat Media Kerajaan Gaza pula mengemas kini angka korban kepada lebih 61,700 orang, dengan ribuan lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan dan dianggap telah meninggal dunia.

Anda Mungkin Berminat