GAZA: Sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terbunuh sejak awal pagi akibat serangan udara dan kebuluran yang semakin parah, menurut laporan terkini.
Memetik laporan AlJazeera, serangan itu menandakan permulaan fasa baru dalam usaha Israel untuk menguasai Gaza, tempat hampir sejuta penduduk kini hidup dalam keadaan amat berbahaya.
Tiga lagi kematian akibat kebuluran direkodkan pada hari Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 269 mangsa termasuk 112 kanak-kanak.
Kawalan ketat Israel telah menyekat kemasukan makanan, bahan api dan bekalan perubatan sehingga menyebabkan Gaza dihimpit krisis kemanusiaan yang semakin parah.
Antara serangan terbaru termasuklah serangan ke atas sebuah khemah pelarian di selatan Gaza yang meragut tiga nyawa.
Dalam insiden berasingan, Mohammed Shaalan, bekas pemain bola keranjang kebangsaan Palestin, ditembak mati ketika cuba mendapatkan bantuan makanan.
Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh ketika beratur di pusat pengagihan bantuan.
Program Makanan Sedunia (WFP) menyifatkan situasi ini bukan sekadar kelaparan, tetapi ‘kebuluran sebenar’ yang membawa maut.
UNRWA pula melaporkan bahawa hampir satu daripada tiga kanak-kanak di Gaza kini mengalami malnutrisi yang boleh menyebabkan kerosakan perkembangan kekal dan sistem imun yang lemah.
Pertubuhan hak asasi Israel, Gisha, menolak dakwaan bahawa PBB bertanggungjawab atas kekurangan bantuan.
Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa Israel telah ‘menggunakan kawalan ke atas bantuan sebagai senjata perang sejak hari pertama’ dan terus menyukarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.
UNRWA sekali lagi menggesa gencatan senjata segera. “Kami bekerja dalam keadaan yang amat dahsyat,” kata Dr Hind, seorang doktor UNRWA.
Petugas kesihatan terpaksa berjalan jauh di bawah terik matahari demi memberikan rawatan kepada rakyat yang amat memerlukan.
Pasukan pertahanan awam Gaza turut memberi amaran bahawa kekurangan bahan api telah melumpuhkan operasi menyelamat.
“Kenderaan kami sering terhenti di tengah jalan, sama ada kerana kehabisan minyak atau kekurangan alat ganti,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Gaza kini berada di ambang kehancuran total dengan seruan antarabangsa semakin lantang menuntut tindakan segera untuk menghentikan penderitaan rakyat Palestin.