GAZA: Walaupun perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah dimeterai, rakyat Palestin di seluruh wilayah Gaza yang musnah teruk masih terus berdepan krisis kebuluran apabila bekalan makanan kekal kritikal dan bantuan kemanusiaan gagal sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
Mengikut syarat perjanjian gencatan senjata itu, Israel sepatutnya membenarkan 600 lori bantuan kemanusiaan memasuki Gaza setiap hari. Namun, pihak berkuasa Israel dilaporkan telah mengurangkan jumlah itu kepada 300 lori sehari, dengan alasan kelewatan operasi mencari mayat tebusan Israel yang tertimbus di bawah runtuhan akibat serangan sebelum ini.
Memetik Al-Jazeera, papan pemantauan UN2720 Monitoring and Tracking Dashboard menjejak penghantaran dan pengagihan bantuan ke Gaza, dari 10 hingga 16 Oktober dan hanya 216 lori berjaya sampai ke destinasi yang ditetapkan di dalam wilayah berkenaan.
Pemandu lori bantuan turut melaporkan bahawa proses penghantaran berdepan kelewatan ketara berikutan pemeriksaan keselamatan oleh tentera Israel yang mengambil masa jauh lebih lama daripada biasa.
Imej satelit yang dirakam oleh Planet Labs pada 14 dan 15 Oktober menunjukkan deretan panjang lori bantuan di sebelah Mesir berhampiran lintasan Rafah, sedang menunggu untuk memasuki Gaza melalui lintasan Kerem Abu Salem.
“Rakyat Palestin Mahukan Makanan”
Walaupun sedikit bantuan makanan berjaya disalurkan dalam beberapa hari kebelakangan ini, bekalan perubatan, nutrisi terapeutik dan ubat-ubatan masih amat terhad – meskipun ia sangat diperlukan, khususnya untuk kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan.
Wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary, yang membuat liputan dari Deir el-Balah di tengah Gaza, melaporkan bahawa beberapa lori komersial dibenarkan memasuki Gaza sejak beberapa hari lalu, namun kebanyakan penduduk tidak mampu membeli barangan tersebut kerana telah menghabiskan semua simpanan mereka sepanjang dua tahun terakhir akibat perang.
“Orang Palestin tidak mahukan apa-apa selain makanan untuk keluarga mereka. Mereka sudah kehilangan rumah, pekerjaan dan masa depan,” katanya.
Keadaan di Gaza terus memburuk walaupun gencatan senjata diumumkan, dengan agensi bantuan antarabangsa memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan boleh menjadi lebih parah sekiranya sekatan terhadap penghantaran bantuan tidak dilonggarkan segera.
Baca juga: