KUALA LUMPUR: Tindakan Israel yang didakwa cuba menggugat kestabilan Iran dari dalam melalui helah politik dilihat sebagai pengulangan strategi ‘pertukaran rejim’ yang pernah digunakan di Iraq dan Libya.
Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, sejarah telah membuktikan bahawa campur tangan asing yang didalangi kuasa Barat dan Israel tidak pernah membawa keamanan, sebaliknya hanya mencetuskan kekacauan berpanjangan.
“Dunia tidak boleh lupa apa yang berlaku di Iraq dan Libya serta pencerobohan Amerika di Afghanistan dan Vietnam.
“Semuanya hanya mengorbankan jutaan nyawa dan meninggalkan kemusnahan besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, setelah gagal menundukkan Iran melalui kaedah konvensional, Israel kini beralih kepada strategi dalaman termasuk pembunuhan pemimpin negara tersebut.
Namun begitu, katanya, reaksi masyarakat antarabangsa kekal lemah dan sekutu Israel seperti Amerika Syarikat dan Britain hanya mengeluarkan kenyataan yang longgar terhadap tindakan tersebut.
“Rakyat Iran telah menunjukkan kebijaksanaan dan keberanian dalam memberi respons bermaruah terhadap serangan pengecut ini.
“Mereka tetap berdiri teguh mempertahankan maruah negara,” ujar beliau.
Raja Bahrin turut memuji ketegasan Iran yang tetap berani bertindak balas meskipun berdepan tekanan ekonomi dan politik yang berterusan daripada kuasa-kuasa besar.
Tambah beliau, keberanian Iran wajar menjadi inspirasi kepada negara-negara Islam lain yang masih memilih untuk berdiam diri meskipun kekejaman terhadap rakyat Palestin terus berlaku setiap hari.
“Ketika negara Islam yang kaya dan maju memilih untuk memalingkan muka, Iran tampil mempertahankan keadilan meskipun dihimpit kuasa besar dunia,” tegasnya.
Beliau turut menyeru rakyat Iran agar terus menyokong kerajaan mereka dalam menempuh tekanan dalaman dan luaran yang dirancang untuk melemahkan kestabilan negara itu.
“Iran kini menjadi satu-satunya suara bermaruah dalam rantau yang semakin kehilangan nilai kemanusiaan,” katanya.