PETALING JAYA: Pihak Istana Pahang hari ini mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan kewujudan akaun TikTok palsu yang menggunakan nama dan identiti Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Menurut kenyataan rasmi pihak Istana Pahang, akaun tersebut telah memuat naik beberapa kandungan yang cuba menyamar sebagai Paduka Baginda sehingga menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan berkaitan kesahihan maklumat dalam kalangan rakyat.
“Tunku Azizah hanya memiliki satu akaun media sosial aktif iaitu di Instagram, namun penggunaannya adalah bersifat peribadi dan bukan untuk siaran umum atau kenyataan rasmi,” menurut kenyataan itu.
Katanya, sebarang titah ataupun kenyataan rasmi dari Kebawah Duli Paduka Baginda hanya akan disalurkan menerusi saluran sah seperti portal istana di www.istanapahang.my dan media sosial rasmi Kesultanan Pahang.
“Akaun Facebook rasmi Kesultanan Pahang mempunyai sekitar 728,000 pengikut dan sebarang maklumat rasmi akan disalurkan melalui platform ini atau saluran sah lain yang menggunakan nama Kesultanan Pahang,” katanya.
Baru-baru ini, tular sebuah akaun TikTok yang didapati menyamar sebagai Tengku Ampuan Pahang.
Kesultanan Pahang telah bertindak segera mengesannya dan kini menyeru orang awam agar lebih berhati-hati serta tidak mudah mempercayai mana-mana akaun yang mendakwa mewakili kerabat diraja tanpa pengesahan rasmi.