Istana Pahang Nafi Dakwaan Tawar Bantuan, Wajah Tengku Ampuan Dimanipulasi AI

PETALING JAYA: Istana Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan Ke bawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj, yang mendakwa pernah menawarkan bantuan kepada orang ramai menerusi aplikasi TikTok.

Penafian itu dibuat susulan kemunculan sebuah akaun TikTok yang menggunakan nama ‘Datuk Muhammad Yusuf’ yang didapati aktif memperdaya masyarakat dengan memanipulasi wajah baginda menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dalam satu hantaran di Facebook rasmi pada Isnin, Istana Pahang menyatakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi yang boleh mencemar nama baik institusi diraja.

“Istana Pahang menegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang disebarkan melalui media sosial terutamanya apabila melibatkan nama dan imej kerabat diraja.

Istana Pahang turut menggesa masyarakat untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima mesej mencurigakan yang menggunakan nama Ke Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.

Anda Mungkin Berminat