Istiadat perkahwinan Raja Muda Selangor bermula hari ini

PETALING JAYA: Istiadat perkahwinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang penuh temasya dimulakan dengan istiadat perarakan diraja pada pagi Khamis selepas tiba di pekarangan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Menurut laporan Berita Harian, perarakan sejauh 1.2 kilometer menuju ke Istana Alam Shah itu menandakan bermulanya istiadat rasmi perkahwinan baginda bersama pasangan, Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Dilihat, Tengku Amir Shah yang segak mengenakan baju Melayu putih berangkat menaiki kereta Rolls-Royce menuju ke Masjid Diraja dalam kawasan Istana Alam Shah bagi upacara akad nikah.

Dalam pada itu kelihatan para pengiring istana sedang membawa pelbagai kelengkapan adat termasuk payung kuning diraja, bunga manggar, lembing dan dulang hantaran, diiringi paluan kompang tradisi rumah diraja Selangor.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat melalui Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz pada jam 8.17 pagi.

Bagi memastikan kelancaran, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertugas mengawal keselamatan serta lalu lintas, dibantu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Angkatan Pertahanan Awam, Rela dan beberapa agensi lain.

Pada 22 September lalu, Sultan Sharafuddin telah mengumumkan perkahwinan Tengku Amir Shah. Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani, mengesahkan istiadat akad nikah diadakan di Masjid Diraja Istana Alam Shah.

Majlis resepsi dan santapan diraja bersempena perkahwinan Raja Muda Selangor pula dijadual berlangsung pada 22 Oktober di Balairung Seri dan Dewan Santapan Istana Alam Shah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat