Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Hasrat bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk memansuhkan hukuman berkaitan larangan isu 3R – ‘Race’ (kaum), ‘Religion’ (agama), dan ‘Raja’ (institusi diraja) dilihat bercanggah dengan pendiriannya sewaktu menerajui pentadbiran negara dahulu
Ini kerana semasa mentadbir dahulu beliau sendiri pernah menyokong agar isu 3R diletakkan dalam perundangan negara.
Penganalisis politik merangkap Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib, menjelaskan bahawa kenyataan terbaru Tun Mahathir itu dibuat atas kebimbangan terhadap sekatan bersuara rakyat dalam membincangkan isu-isu kritikal melibatkan 3R.
“Tun Mahathir menyuarakan kebimbangan bahawa sekiranya larangan terhadap isu 3R ini diteruskan, ia seolah-olah menyekat kebebasan rakyat untuk mengkritik kerajaan, termasuk dalam hal yang melibatkan agama, raja dan kaum,” jelas beliau ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.
Tambah beliau, walaupun kritikan terhadap kerajaan itu penting, ia tetap perlu dikawal agar tidak mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama yang boleh menggugat keharmonian negara.
“Jika isu 3R tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh menimbulkan banyak masalah, termasuk ketegangan antara kaum.
“Namun, jika kritikan terhadap kerajaan disuarakan secara berhemah, ia seharusnya dibenarkan tanpa perlu dikenakan hukuman,” katanya.
Dr Kartini turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dalam kes Elizabeth Sabaditsch-Wolff vs Austria pada 2018 sebagai panduan antarabangsa berhubung keseimbangan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab sosial.
“Dalam kes itu, Austria menggunakan Seksyen 188 Kanun Jenayah bagi menyekat ucapan yang dianggap menghina agama.
“Ini menunjukkan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu disertakan dengan tanggungjawab untuk menjaga keharmonian masyarakat,” jelasnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa prinsip yang diguna pakai dalam kes tersebut boleh dijadikan rujukan bagi negara-negara berbilang kaum seperti Malaysia dalam mengekalkan kestabilan sosial.
“Selagi kritikan yang dilontarkan berhemah, ia seharusnya dibenarkan.
“Menyekat kebebasan bersuara secara total hanya akan menyempitkan pemikiran rakyat serta menghalang perkembangan pemikiran kritikal,” ujarnya.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keperluan untuk mengekalkan keamanan serta keharmonian negara.
“Kerajaan perlu jelas bila dan dalam konteks apa isu 3R boleh atau tidak boleh dibicarakan. Perlu ada ruang rasional dalam membincangkan isu-isu sensitif ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Dr Mahathir bahawa beliau akan memansuhkan hukuman berkaitan isu 3R sekiranya kembali menjadi Perdana Menteri.
Beliau menyatakan perkara itu semasa pelancaran bukunya di Putrajaya pada Isnin lalu.
“Saya perlu tahu apa yang rakyat fikirkan. Kalau mulut mereka ditutup, mereka mungkin menyimpan rasa tidak puas hati, tetapi kamu pula menyangka semuanya baik-baik sahaja,” katanya.
Baca juga: