PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat sebuah premis milik seorang pempengaruh selepas dipercayai menerbitkan kandungan jelik yang menyentuh isu 3R.
MCMC menerusi kenyataannya berkata, kandungan jelik itu dikatakan dimuat naik melalui platform Facebook yang mempunyai elemen jelik melampau terkait dengan unsur agama, kaum, dan Institusi Diraja.
“Siasatan dilakukan susulan kandungan yang dimuat naik melalui akaun Facebook individu tersebut, yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Seksyen ini memperuntukkan kesalahan penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, jelik melampau atau mengancam, dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain,” kata kenyataan itu pada Sabtu.
Tindakan pemeriksaan ke atas premis berkenaan dilakukan selepas MCMC memperoleh waran geledah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut Seksyen 247 AKM 1998.
Hasil daripada pemeriksaan itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad sim telah disita untuk tujuan siasatan
Dalam pada itu, MCMC turut memaklumkan bahawa sesi merakam keterangan telah dibuat pada 9 Mei lalu di Balai Polis Pudu.
Individu berkenaan juga katanya telah hadir ke Ibu Pejabat MCMC untuk memberikan keterangan berhubung kes sama.
Baca juga: