Isu 3R tanggungjawab seluruh kementerian dan agensi Kerajaan – Menteri Perpaduan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Isu 3R iaitu institusi Raja, Agama dan Kaum merupakan mandat dan tanggungjawab setiap kementerian serta agensi, kata Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Katanya, pendekatan yang dikenali sebagai “Whole-of-Government Approach” oleh Kerajaan Madani merangkumi beberapa aspek dalam mengekang isu 3R.

“Pendekatan ini merangkumi aspek pengumpulan data, pemantauan, intervensi awal, mediasi, penguatkuasaan serta tindakan undang-undang oleh agensi berkaitan bagi memastikan setiap isu ditangani secara berkesan dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Aaron Dagang turut menegaskan Kerajaan Madani kini komited memastikan keharmonian masyarakat, kestabilan negara dan semangat perpaduan sentiasa dipelihara.

Kata beliau, ianya selaras dengan prinsip menghormati kepelbagaian agama, kaum dan institusi diraja yang menjadi asas kekuatan Malaysia.

Pada masa sama, Aaron turut berkongsikan beberapa inisiatif kementerian berkenaan seperti melaksanakan pemantauan terhadap kenyataan berbaur kebencian, keagamaan dan perkauman melalui Sistem eSepakat dan Sistem Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), dengan setiap aduan akan disalurkan kepada agensi penguatkuasa berkaitan untuk tindakan segera.

Selain itu katanya, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) merangkumi 12 kementerian dan agensi bagi menyelaras tindakan pantas terhadap isu-isu yang berpotensi menjejaskan perpaduan.

Antara Inisiatif lain membangunkan Dashboard Analitik Perpaduan, iaitu sebuah papan pemuka digital, bagi mengenal pasti lokasi yang berisiko tinggi terhadap ketegangan kaum atau agama serta menyediakan perkhidmatan mediasi melalui pengantara komuniti bagi membantu menyelesaikan konflik di peringkat akar umbi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat