Isu 40 Peratus Hasil dan MA63 Dijangka Jadi Fokus Kempen di Sabah – Pakar

Oleh Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Walaupun kempen rasmi belum bermula, sentimen mengenai hak Sabah sudah mula dimainkan oleh pelbagai pihak bagi menarik perhatian pengundi.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berpandangan isu 40 peratus hasil Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka antara topik utama dalam kempen pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.

“Isu 40 peratus hasil Sabah ini ada kaitan rapat dengan MA63, dan ia sememangnya dekat di hati rakyat Sabah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Khamis.

Azmi menjelaskan, pengundi di Sabah kini berdepan pilihan sama ada mahu menubuhkan kerajaan negeri yang mesra dengan kerajaan Persekutuan untuk memudahkan rundingan hak-hak MA63, atau memilih kerajaan negeri yang lebih tegas dan berbeza pendirian.

“Pilihan ini penting kerana ia akan menentukan hala tuju hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya nanti,” katanya lagi.

Beliau turut menjangkakan bahawa kempen rasmi yang dijangka bermula Sabtu ini akan memperlihatkan setiap parti menjadikan isu MA63 sebagai bahan utama bagi meraih sokongan rakyat.

“Tidak dapat dinafikan, isu MA63 dan 40 peratus hasil Sabah akan menjadi rebutan utama. Semua parti mahu dilihat sebagai pembela hak Sabah,” ujar Azmi.

Katanya, perbincangan mengenai isu itu perlu dibuat secara rasional dan berlandaskan semangat perpaduan agar tidak mencetuskan perbalahan politik yang merugikan rakyat.

Isu pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan MA63.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berkata Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang berpihak kepada Sabah, sekali gus membuka ruang rundingan baharu antara kerajaan negeri dan pusat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat