Isu 40 Peratus Hasil Sabah Ujian Kematangan Federalisme – J-KOM

PETALING JAYA: Tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukan sekadar angka atau slogan politik, sebaliknya menjadi simbol ujian kematangan federalisme Malaysia serta proses pembinaan negara bangsa, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.

Beliau berkata, Sabah bukan entiti yang berdiri sendiri tetapi sebahagian daripada projek nasional yang lebih besar seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak negeri itu menerima sebahagian hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ismail, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan semakan kewangan dalam tempoh 90 hari dan penyelesaian dalam 180 hari bukanlah hadiah politik tetapi perintah undang-undang yang wajib dipatuhi.

“Keputusan ini membuktikan federalisme Malaysia berfungsi.

“Hak negeri diiktiraf, namun pelaksanaannya mesti selari dengan kestabilan dan integriti fiskal negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, tuntutan negeri perlu melalui mekanisme sahih berasaskan audit, rekod tepat dan definisi jelas mengenai ‘hasil bersih’.

Tambah beliau, pembayaran atau pengiktirafan hak tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia berkait rapat dengan kestabilan ekonomi dan perancangan pembangunan jangka panjang.

“Proses berstruktur penting supaya projek pembangunan dapat dirancang dengan baik dan hak negeri dapat diimbangi dengan tanggungjawab terhadap kemakmuran negara,” katanya.

Isu 40 peratus hasil Sabah kembali menjadi perhatian selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan semakan kewangan dibuat segera, selaras dengan tuntutan yang telah berlarutan sejak era penubuhan Malaysia.

Anda Mungkin Berminat