Isu 7 Pemain Warisan: PDRM Terima 45 Laporan Pemalsuan Dokumen

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesahkan telah menerima sebanyak 45 laporan berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan pertama dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 24 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Menurut beliau, pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan penipuan.

“Sehingga kini, sebanyak 45 laporan diterima oleh JSJK dan lapan individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dipetik Berita Harian.

Bagaimanapun, identiti individu terbabit tidak didedahkan setakat ini.

Terdahulu, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, laporan polis dibuat susulan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa itu menyiapkan siasatan pada Disember lalu.

Beliau turut menegaskan komitmen FAM untuk memberi kerjasama penuh kepada PDRM serta menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan penambahbaikan tadbir urus bagi melindungi kepentingan bola sepak negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat