Isu 80 pelajar tidak layak duduki UPKK kini selesai – Menteri

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mendaftarkan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong yang sebelum ini tidak layak menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK).

Menerusi kenyataan media pada lewat Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar berkata menerusi sesi semakan dan perbincangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAIS bersama pihak sekolah berkenaan, isu pendaftaran murid tersebut berjaya diselesaikan.

“Hasil perbincangan bersama, pihak JAIS telah bersetuju memberikan kebenaran khas kepada kesemua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK Tahun 2025, dengan beberapa penyelarasan.

“Semua murid akan mengambil peperiksaan di pusat peperiksaan yang berdaftar (sekolah tumpang).

“Peperiksaan lisan untuk tiga mata pelajaran yang telah selesai akan diaturkan selepas peperiksaan bertulis,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, pihak sekolah juga telah memberikan komitmen untuk mengambil langkah segera bagi melengkapkan proses pendaftaran rasmi mengikut garis panduan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988, dengan bimbingan JAIS.

“Dengan keputusan ini, semua 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari akan dapat menduduki UPKK Tahun 2025 seperti calon lain di seluruh negara.

“JAKIM dan JAIS akan terus memantau pelaksanaannya agar berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan,” ujarnya.

Pada masa sama, Kerajaan Madani turut menegaskan bahawa mana-mana sekolah atau institusi pendidikan Islam yang masih beroperasi tanpa pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa agama negeri akan dikenakan tindakan tegas.

“Pihak Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap isu pematuhan peraturan dan keselamatan murid, kerana ia melibatkan kredibiliti sistem pendidikan Islam dan pendirian integriti kita sebagai umat beragama Islam.

“Diharapkan semua pihak dapat menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk memperkukuh kepatuhan terhadap garis panduan pendaftaran institusi pendidikan Islam di masa hadapan,” tegasnya.

Justeru, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor tampil menzahirkan rasa komited untuk memperkukuhkan lagi ekosistem pendidikan Islam negara melalui pendekatan “Pendidikan Islam Madani.

Ianya berdasarkan prinsip ilmu, adab dan tadbir urus yang berintegriti demi manfaat anak-anak generasi akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat