KOTA BHARU: Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia yang menganjurkan Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza pada Jumaat lalu memohon maaf berhubung tindakan mengibarkan bendera Israel semasa gimik persembahan program berkenaan.
Pengarah Program, Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata, pihaknya tidak berniat menyinggung mana-mana pihak dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
“Saya memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersalah faham tentang gimik persembahan pada hari kejadian. Saya juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penganjuran ini,” katanya dalam satu hantaran video berdurasi tiga minit yang dimuat naik di TikTok malam Ahad.
Video berkenaan menerima lebih 123,000 tontonan dan hampir 600 komen daripada pengguna media sosial.
Tindakan mengibarkan bendera Israel dalam program anjuran bersama Komuniti Floating Market Sri Tanjung itu mencetuskan kecaman selepas tular di media sosial.
Mohd Khairul menjelaskan bahawa tindakan itu hanyalah simulasi bagi melakonkan semula kejadian sebenar yang menimpa sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ketika misi menghantar bantuan ke Gaza.
“Jangan menilai hanya berdasarkan video pendek yang dikongsi di media sosial. Mereka yang hadir tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya.
Baca juga:








