Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, tiada aduan rasmi diterima berhubung pengumuman senarai ‘cai’ oleh calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, baru-baru ini.
“Setakat ini, biro aduan tak terima apa-apa aduan rasmi. Cuma ada aduan dalaman.
“Kalau ada aduan, jawatankuasa pemilihan boleh beri amaran, kemudian amaran keras.
“Kalau masih tiada tindakan, ia akan dibawa ke Lembaga Disiplin,” katanya dalam sesi taklimat bersama media di Persada Johor Convention Centre pada Khamis.
Pengumuman senarai ‘cai’ pilihan oleh Rafizi dikeluarkan kurang 48 jam sebelum pemilihan pusat PKR bermula yang menyaksikan beberapa jawatan penting parti terlibat.
Untuk perebutan empat slot Naib Presiden, Rafizi telah menyenaraikan empat nama pilihannya daripada 12 calon yang mengesahkan penyertaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaliha turut memaklumkan bahawa beberapa kain rentang kempen yang dipasang berhampiran pusat pengundian telah diarahkan untuk diturunkan kerana melanggar etika kempen.
Sesi taklimat tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, Pengarah Komunikasi PKR, Datuk Fahmi Fadzil, dan Ketua Biro Aduan, Datuk Ahmad Kassim.
Pada pemilihan kali ini, sebanyak 251 calon bertanding yang melibatkan jawatan utama serta sayap Wanita dan Pemuda.
Seramai 32,030 perwakilan dari 222 cabang akan mengundi secara dalam talian atau hadir ke pusat pengundian di Johor Bahru, Sabah dan Sarawak.








