PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mahu agensi penguat kuasa bertindak menggeledah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara sewenang-wenangnya.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataannya sebelum ini sebenarnya merujuk kepada dakwaan penyelewengan dana asing yang diterima sebuah syarikat swasta bagi tujuan tertentu.
“Sejak bila gesaan untuk menyiasat aliran tunai atau dana asing yang diterima sebuah syarikat swasta dianggap ancaman kepada demokrasi dan mencabuli prinsip kebebasan?” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, empat bekas pimpinan Bersih 2.0 mengkritik pendirian AMK dan mendakwa ia bercanggah dengan prinsip perjuangan serta asas penubuhan Parti Keadilan Rakyat.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata tindakan menyamakan gesaan siasatan tersebut dengan pendekatan rejim terdahulu adalah tidak tepat dan tersasar daripada konteks sebenar.
Menurutnya, PKR sejak awal penubuhannya sentiasa didukung oleh gerakan massa dan pertubuhan masyarakat sivil yang memperjuangkan prinsip reformasi.
“Saya tidak pasti sama ada mereka benar-benar meneliti keseluruhan kenyataan tersebut secara waras dan adil, atau ada pihak tertentu yang memutar belit kenyataan dan berselindung di sebalik istilah pertubuhan masyarakat sivil untuk mengalih perhatian terhadap dakwaan yang sedang berlegar,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa PKR tidak pernah menafikan sumbangan NGO dan pertubuhan masyarakat sivil dalam meningkatkan kesedaran rakyat serta memperkukuh kefahaman demokrasi negara.
Katanya, isu yang dibangkitkan ketika ini melibatkan dakwaan serius yang menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan negara.
“Demokrasi dan kebebasan tidak bermaksud mana-mana pihak bebas melangkaui batas sehingga boleh menggugat keselamatan dan keamanan negara,” katanya.
Baca juga:








