Isu Dana PAS–Bersatu Soal Maruah, Perlu Dedah Perbelanjaan Kempen

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Pertikaian mengenai sumber pembiayaan antara PAS dan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini semakin hangat diperdebatkan, sekali gus menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan bercanggah mula tercetus apabila Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa PAS menanggung kos besar PRU15.

Sebaliknya, bekas pegawai kanan Bersatu, Datuk Dr Marzuki Mohamad menegaskan bahawa dana tersebut datang daripada Bersatu.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berpandangan bahawa isu itu tidak seharusnya dijadikan polemik terbuka kerana ia menyentuh soal maruah dan wibawa kepimpinan parti.

“Ini bukan sekadar soal kewangan. Ia soal maruah parti dan wibawa kepimpinan.

“Bila perbalahan ini dibawa ke khalayak ramai, ia hanya menampakkan kelemahan dalaman gabungan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Menurutnya, jika benar mahu membuktikan siapa yang membiayai siapa, kedua-dua parti perlu mendedahkan akaun perbelanjaan kempen.

Namun, langkah itu katanya, dijangka ditolak kerana berisiko membuka ruang lebih besar kepada serangan politik dan perpecahan dalaman.

Dr Azmi berkata, pertelingkahan berpanjangan itu boleh menjejaskan usaha PN untuk menonjolkan diri sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada terutama ketika rakyat sedang menilai keupayaan gabungan tersebut dalam menawarkan kestabilan dan daya saing.

“PAS menegaskan kemenangan PN hasil kekuatan jentera mereka, sementara Bersatu pula mahu diiktiraf sebagai parti yang berdiri atas kaki sendiri.

“Persoalan siapa lebih dominan sebenarnya hanyalah perebutan pengaruh,” tambah Azmi.

Terdahulu pada PRU15 menyaksikan PN meraih kemenangan dengan PAS memenangi 43 kerusi Parlimen iaitu pencapaian terbesar dalam sejarah parti itu.

Anda Mungkin Berminat