Isu Diesel Pesawah, Mohamad Sabu Pasti Kebajikan Petani Jadi Keutamaan

PETALING JAYA: Beberapa pesawah yang padinya masih belum dituai meluahkan kebimbangan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung peraturan pembelian diesel yang perlu mengikut spesifikasi tong tertentu.

Mohamad Sabu memaklumkan bahawa beliau telah membuat semakan dengan pegawai berkaitan serta berbincang untuk mencari kaedah terbaik bagi memudahkan urusan pembelian diesel khususnya untuk kegunaan jentera penuaian padi.

Isu itu kini katanya sedang ditangani oleh agensi berkaitan termasuk MADA, LPP, Jabatan Pertanian Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut beliau, satu sesi libat urus akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti dan menambah baik prosedur sedia ada supaya lebih praktikal dan tidak menyusahkan pesawah.

“Insya-Allah, saya yakin penyelesaian terbaik akan dapat dicapai dengan segera kerana kebajikan pesawah sentiasa jadi keutamaan KPKM dan Kerajaan MADANI,” katanya.

Beliau turut berkata, aduan lain berkaitan kesan kenaikan harga bahan api terhadap sektor pertanian juga sedang dalam tindakan kementerian.

“Jadi janganlah bimbang kerana kementerian dan kerajaan sentiasa mendengar semua aduan dan maklumbalas yang diterima.

“Kita selesaikan satu persatu ya.. Yang penting jangan panik. Kita sama-sama cari jalan untuk mengatasi apa jua cabaran yang mendatang,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat