Isu hak 40 peratus Sabah: AGC tentukan tindakan rayuan

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung keputusan terbaharu melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Dalam kenyataan pada Sabtu, AGC memaklumkan antara isu utama yang menjadi pertikaian ialah tafsiran undang-undang terhadap Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu melaksanakan satu lagi kajian semula Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2022.

“Jabatan Peguam Negara akan meneliti alasan penghakiman berkenaan setelah menerimanya kelak sebelum membuat sebarang keputusan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan Putrajaya mengadakan semakan bersama Kerajaan Sabah berkaitan hak negeri itu untuk menuntut 40 peratus hasil bersih yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.

Perintah itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid, membenarkan semakan kehakiman difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak perlembagaan Sabah terhadap tuntutan hasil berkenaan.

Mahkamah turut mengisytiharkan tindakan Kerajaan Persekutuan sebagai tidak sah dan melampaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menunaikan tanggungjawabnya terhadap hak 40 peratus hasil itu selama hampir lima dekad.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat