Isu harga beras, juara pesawah atau penghasut rakyat?

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyelar sikap pembangkang yang sebelum ini mendesak kerajaan menaikkan harga siling beras putih tempatan, namun kini menuduh kerajaan zalim apabila langkah pembetulan harga dilaksanakan.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendesak agar harga siling beras dinaikkan jelas menunjukkan pengiktirafan bahawa harga semasa tidak lagi mencerminkan kos sebenar pengeluaran padi dan beras.

“Kalau benar perjuangkan petani, jangan menyalak bila kerajaan betulkan harga,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Mahfuz menegaskn tindakan kerajaan menstruktur semula harga bertujuan bagi memastikan keadilan kepada pesawah dan kestabilan bekalan beras dalam negara, namun pembangkang kini berpusing arah dengan memainkan sentimen seolah-olah kerajaan menindas rakyat.

“Inilah wajah sebenar politik hipokrasi pembangkang kotak kasut hari ini bersuara kononnya pejuang petani, esoknya menjadi penghasut nombor satu negara,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan kini komited dan berusaha menyeimbangkan dua kepentingan utama agar pesawah tidak terbeban dengan harga padi yang tidak munasabah serta melindungi pengguna daripada manipulasi pasaran dan kenaikan harga mendadak.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan satu gred sahaja bagi beras putih, tanpa perbezaan antara tempatan dan import.

Malah katanya, kerajaan wajar menetapkan harga siling baharu beras yang lebih munasabah untuk semua pihak dalam rantaian pesawah, pengilang, pemborong dan pengguna.

Ini kerana katanya, langkah itu penting bagi mengelak manipulasi harga oleh pihak tertentu selain memastikan ketelusan pasaran serta kestabilan bekalan jangka panjang, memandangkan harga beras putih import kini semakin menurun di pasaran antarabangsa.

“Kerajaan sudah boleh menetapkan harga baharu beras putih tempatan bersama harga beras putih import kerana pembangkang sendiri tidak lagi membantah,” ujarnya.

Mahfuz turut mengingatkan pembangkang agar konsisten dalam pendirian mereka.

“Jangan hari ini jadi juara pesawah, esok jadi penghasut rakyat,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat