PETALING JAYA: Kerajaan Madani sedang giat meningkatkan operasi bersepadu di enam zon utama negara iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur serta Sabah dan Sarawak dalam usaha mendepani isu jalan raya yang semakin meruncing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara kini berdepan dua cabaran besar dalam sektor pengangkutan iaitu kesesakan lalu lintas yang semakin serius dan kadar kemalangan jalan raya yang masih tinggi.
“Bagi tempoh Januari sehingga 30 September 2025, sebanyak 4,875 kematian akibat nahas jalan raya telah direkodkan dengan purata 18 nyawa terkorban setiap hari.
“Angka ini meningkat berbanding tahun 2024 yang merekodkan purata 17 kematian setiap hari.
“Lebih 67 peratus daripada jumlah tersebut melibatkan penunggang motosikal.
“Peningkatan ini amat membimbangkan dan kerajaan akan mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih tegas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tumpuan kepada isu kenderaan membawa muatan melebihi tahap dibenarkan.
Ahmad Zahid turut mengumumkan kaedah penguatkuasaan baharu termasuk tindakan ‘three strikes out’, di mana syarikat yang berulang kali melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan boleh dikenakan penggantungan lesen dan permit.
“Bagi menyokong penguatkuasaan, penggunaan teknologi timbang automatik Weigh-in-Motion (HS-WIM) akan dipertingkatkan dan pemeriksaan muatan telah diwajibkan di pintu masuk pelabuhan bermula 1 Julai 2025.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan maut, memelihara integriti jalan raya serta infrastruktur negara dan membina budaya pematuhan kepada undang-undang,” ujarnya.
Selain itu katanya, kerajaan akan mula menguatkuasakan pemasangan Speed Limitation Device (SLD) secara berfasa ke atas kenderaan perdagangan bermula 1 Oktober 2025, bagi memastikan lori dan bas mematuhi had kelajuan.
“Langkah ini disokong dengan cadangan insentif fiskal melalui Belanjawan 2026, iaitu Elaun Modal Dipercepatkan dalam tempoh setahun bagi meringankan kos pemasangan atau penalaan SLD di pusat bertauliah.
“Gabungan penguatkuasaan tegas dan insentif ini diyakini dapat meningkatkan disiplin pemandu serta menurunkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Belanjawan 2026 turut memperuntukkan RM13 bilion bagi menaik taraf dan melebarkan jalan persekutuan serta negeri, selain RM2.5 bilion untuk kerja penyelenggaraan, penurapan semula jalan rosak dan penambahbaikan pencahayaan di lokasi berisiko.
“Kerajaan juga akan memasang 3,000 unit lampu LED di hotspot kemalangan di lebuhraya bagi meningkatkan keselamatan pada waktu malam.
“Kerajaan turut bersetuju melaksanakan beberapa langkah penting, termasuk penambahbaikan saringan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan dan Pelan Hala Tuju Intelligent Traffic System (ITS) Malaysia 2030,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh disandarkan kepada satu agensi semata-mata.
“Ia menuntut koordinasi antara Kementerian, dasar berasaskan data serta keberanian membuat keputusan demi kelangsungan sistem pengangkutan negara.
“Saya percaya bahawa apabila rakyat diberi kefahaman dan pilihan yang baik, mereka akan bersama-sama membentuk budaya mobiliti baharu yang lebih cekap, selamat dan berdaya tahan,” tegasnya.








