PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan daripada isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik dengan melakukan ugutan atau merancang protes di premis perniagaan atas alasan mahu ‘mengajar’ cara yang betul mengibarkan bendera.
Beliau menyifatkan tindakan sedemikian sebagai satu bentuk pembulian yang tidak wajar dan bertentangan dengan semangat perpaduan yang menjadi asas keharmonian negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan.
“Itu sebabnya ada undang-undang khusus untuk mengawal selia pengibarannya,” katanya.
Loke turut menjelaskan bahawa sebarang penyalahgunaan atau kesilapan melibatkan bendera dan lambang negara seperti Jalur Gemilang dan Jata Negara adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak berkuasa bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang adalah polis dan mereka perlu diberi ruang untuk bertindak secara adil serta berlandaskan prinsip Kedaulatan Undang-Undang.
Pada masa yang sama, Loke menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memperkukuh semangat perpaduan, menghormati kepelbagaian budaya dan latar belakang serta berganding bahu dalam usaha membangunkan negara.
“Marilah sama-sama menguatkan perpaduan sesama kita, menghormati kepelbagaian antara satu sama lain dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan Malaysia yang kita cintai bersama,” ujarnya.








