Isu Jalur Gemilang: Lemah moraliti bernegara – Dr Ahmad Murad

PETALING JAYA: Kontroversi baru-baru ini tentang ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap oleh dua media tempatan berbahasa Cina telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, perkara itu bukan sekadar kesilapan teknikal tetapi lebih mencerminkan isu moraliti kenegaraan dan kesetiaan warganegara.

“Kita perlu melihat insiden dalam konteks yang lebih luas. Ia sebahagian daripada rentetan peristiwa sebelum ini, daripada isu tulisan Jawi, soal penggunaan bahasa Melayu, hingga insiden bendera Malaysia dipamerkan secara terbalik.

“Adakah mereka adalah warganegara Malaysia? Takkan tak kenal bendera Malaysia. Adakah mereka tidak menghayati ciri-ciri warganegara ini?” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Lebih serius lagi, beliau mempersoalkan tentang bagaimana sebuah media berperanan besar sebagai agen penyebar maklumat dan budaya boleh melakukan kesalahan.

“Jika mereka boleh memaparkan bendera China dengan betul, mengapa bendera negara sendiri sering silap? Persoalannya, di mana nilai dan kesetiaan kepada tanah air?

“Jadi, apabila terjadi begini, memaparkan dua bendera, satu bendera China dan satu lagi sepatutnya bendera Malaysia, ia sebenarnya menghina negara,” katanya.

Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil bukan sahaja daripada sudut perudangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tetapi juga mempertimbangkan implikasi moral dan simbolik kepada negara.

“Tiba masa kerajaan bertindak tegas. Kalau media lain boleh dikenakan tindakan, tidak ada sebab media sebegini terkecuali,” tegasnya.

Sebagai langkah ke hadapan, beliau mencadangkan agar semua akhbar berbahasa Cina di Malaysia diwajibkan menyediakan halaman editorial dan pendapat dalam dua bahasa, iaitu bahasa Cina dan bahasa Melayu.

“Prinsipnya mudah. Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu. Semua institusi termasuk pendidikan, media dan kewartawanan mesti menggunakan bahasa Kebangsaan.

“Kita telah terlupa bahawa akhbar vernakular Cina dan Tamil telah wujud sekian lama tanpa diganggu,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat