Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan PAS yang didakwa mengulangi kesilapan sama dalam isu paparan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu yang lengkap.
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu, Ahmad Nazri Mohd Yusof berkata, PAS sebelum ini begitu lantang membidas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sama, namun kini terpalit dengan isu serupa seperti yang pernah melibatkan akhbar Sinchew Daily.
“Perkara ini sangat dikesali oleh pihak PKR Terengganu kerana seharusnya perkara ini tidak berlaku, lebih-lebih lagi PAS sebelum ini begitu lantang membidas kesilapan Sinchew Daily dalam isu bendera Malaysia tanpa bulan sabit yang disiarkan dalam edisi cetak mereka,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika dihubungi.
Ahmad Nazri turut menyifatkan tindakan PAS sebagai hipokrasi politik dengan mendakwa parti itu bukan sahaja melakukan kesilapan yang sama tetapi juga berdiam diri tanpa meminta tindakan dikenakan ke atas mereka.
“Pada kali ini, mereka diam seribu bahasa dan hanya memohon maaf, sedangkan dalam kes Sinchew Daily, PAS begitu lantang meminta tindakan tegas diambil.
“Ini adalah satu bentuk hipokrasi politik yang menjijikkan,” ujar beliau.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu menegaskan bahawa insiden itu bukan sekadar kecuaian dalam rekaan tetapi mencerminkan kejahilan politik PAS yang sepatutnya tidak berlaku bagi sebuah parti yang sering melaungkan ketuanan Melayu dan negara.
“Jelas di sini, PAS hanya pandai mengambil kesempatan laba politik pada pihak lain tetapi tidak mengubah kejahilan kefahaman mereka terhadap sosio-politik negara,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa poster promosi buat Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang dijadual berlangsung pada 29 hingga 31 Mei ini, menampilkan bintang kuning dengan 11 bucu berbanding 14 bucu seperti yang sepatutnya terdapat pada Jalur Gemilang.
Selain itu, poster berkenaan turut memaparkan jalur merah putih tanpa elemen penuh yang melambangkan negeri dalam Persekutuan Malaysia serta Wilayah Persekutuan.
Susulan kecaman yang diterima, Sekretariat Program TMT tampil memohon maaf secara terbuka dan memaklumkan bahawa pihaknya telah menarik semula penggunaan logo berkenaan serta mengeluarkan versi baharu yang dikemas kini.