Isu Jalur Gemilang Terbalik: PDRM Nasihat Batal Himpunan Di Bertam

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan agar satu perhimpunan yang dirancang berlangsung di Bertam, Kepala Batas esok (Jumaat) dibatalkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Menurut satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memandang serius sebarang isu yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam khususnya melibatkan sentimen kenegaraan seperti insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular baru-baru ini.

“Sebanyak 38 laporan polis telah diterima dari seluruh negara, melibatkan 17 laporan di Pulau Pinang dan 21 lagi dari negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, perhimpunan yang dikaitkan dengan isu tersebut dikhuatiri boleh mencetuskan pertembungan antara pihak yang bertentangan, justeru PDRM menyeru semua pihak agar tidak meneruskan sebarang bentuk perhimpunan yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

“Atas faktor keselamatan masyarakat setempat, PDRM menyeru semua pihak untuk membatalkan perhimpunan tersebut dan elak daripada berlakunya sebarang pertembungan yang tidak sihat antara pihak yang bertentangan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, PDRM turut memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan video Jalur Gemilang terbalik, di bawah peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan telah dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya, Pulau Pinang pada 11 Ogos 2025 dan kini sedang dalam penelitian pihak berkenaan,” ujarnya.

Mohd Khalid menegaskan komitmen pasukan itu untuk menjalankan siasatan secara telus dan berintegriti, selaras dengan undang-undang yang sedia ada, demi memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara.

“PDRM akan kekal komited untuk melaksanakan siasatan secara telus, berintegriti serta mengikut peruntukan undang-undang demi memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, sebaliknya digalakkan untuk menyalurkan maklumat yang sahih kepada pihak berkuasa.

Anda Mungkin Berminat