Isu Kampung Baru: Khalid Samad hantar Surat Tuntutan kepada Rafidah Ibrahim

PETALING JAYA: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Abdul Samad telah menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada selebriti Rafidah Ibrahim berikutan kenyataan kontroversialnya di TikTok.

Rafidah mendakwa Khalid berniat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) dan menghapuskan tanah rizab Melayu termasuk Kampung Baru.

Surat tersebut disampaikan melalui firma guaman Hisham Fauzi & Associates pada 17 April lalu yang menuntut Rafidah untuk menarik balik kenyataannya, memohon maaf secara terbuka, serta membayar ganti rugi.

“Untuk nak hentikan perkara ini saya tiada pilihan kerana tuduhan yang dibuat oleh Rafidah, tuduhan yang liar yang tidak bertanggungjawab dan saya terpaksa saman dia kerana kalau tak dia akan teruskan (buat video),” kata Khalid dalam sidang media menerusi Facebook.

Beliau berkata, sekiranya surat itu tidak dapat disampaikan di kediaman Rafidah, pihak guaman akan mencari lokasi lain termasuk tempat awam di mana Rafidah merakam video TikTok.

Sebelum ini, Rafidah, melalui platform TikTok, menyeru penduduk kampung untuk kekal menetap di kawasan tersebut dan membantah rancangan pembangunan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka akan mengadakan sidang media khas minggu ini untuk memberi penjelasan tentang perkara itu.

Pada Disember lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turut menyatakan bahawa kerjasama antara pemilik tanah dan pemaju telah dilakukan tanpa unsur paksaan dengan pampasan disalurkan secara berperingkat kepada pihak berkepentingan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Februari 2022 hingga Januari 2023.

Anda Mungkin Berminat