PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berhubung nota bantahan yang dikemukakan UMNO terhadap penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam parti itu.
Menurut Anwar, perkara itu akan dirujuk kepada Fuziah bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Itu surat sudah lama dah. Saya kena semak dengan Setiausaha Agung (Fuziah Salleh),” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di Kompleks Kementerian Kewangan pada Rabu.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas nota bantahan UMNO yang menolak tindakan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan membenarkan kemasukan ahli UMNO ke dalam parti lain.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan setiap parti gabungan perlu menghormati konvensyen yang telah dipersetujui bersama, manakala Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata bantahan rasmi akan diserahkan sebagai protes terhadap perkara itu.
Asyraf menegaskan, pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 13 Ogos lalu kerana langkah membenarkan ahli UMNO menyertai parti lain berpotensi mengeruhkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan permohonannya menyertai PKR sudah diterima.
Beliau yang meletakkan jawatan dalam UMNO pada 30 Mei lalu kini sah sebagai ahli PKR Cabang Ampang.
Baca juga: