BANGI: Isu kekurangan guru yang sekian lama membelenggu sektor pendidikan negara kini berjaya ditangani, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, ianya hasil pelaksanaan pelbagai reformasi strategik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP).
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian sulung dalam sejarah pentadbiran pendidikan negara dengan penekanan terhadap aspek kualiti guru dan penempatan yang bersesuaian di seluruh negara.
“Tiada lagi isu kekurangan guru. Kita telah menoktahkan perkara ini melalui pelbagai mekanisme termasuk memastikan guru yang dihantar benar-benar berkualiti dan menepati keperluan murid,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-15 Institut Pendidikan Guru (IPG) di Bangi, hari ini.
Menurut Fadhlina, usaha kerajaan bukan hanya tertumpu pada kuantiti tetapi kualiti dan keikhlasan mereka yang dipilih menjadi pendidik.
“Saya sangat terharu dengan peningkatan permohonan ke IPG saban tahun.
“Ini menunjukkan keyakinan tinggi ibu bapa dan masyarakat terhadap profesion perguruan sebagai kerjaya bermakna,” ujarnya.
Dalam masa sama, KPM memberi jaminan bahawa penambahbaikan terhadap sistem penempatan guru akan diteruskan secara konsisten demi kelestarian pendidikan negara.
Kementerian juga merancang pelan pembangunan pendidikan dan kurikulum baharu yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini, selari dengan aspirasi pendidikan abad ke-21.