PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kelewatan pelaksanaan projek serta kerenah pentadbiran yang wujud sejak era 1980-an tidak boleh lagi dibiarkan berterusan.
Beliau berkata, kerajaan tiada ruang untuk mengulangi kegagalan lalu, sebaliknya perlu bertindak segera dan berkesan demi memenuhi harapan rakyat.
“Masa tidak menunggu kita dan rakyat pula menuntut tindakan bukan alasan.
“Kerajaan MADANI mesti lebih proaktif, cekap dan fokus kepada penyelesaian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bil. 1/2025, petang tadi.
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada tiga agenda utama iaitu cadangan hasil Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri, penambahbaikan pelaksanaan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pelaksanaan sekolah vertikal di kawasan bandar utama.
Perdana Menteri turut berkata, setiap sen peruntukan di bawah Rancangan Malaysia mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.
Justeru, beliau mahu sebarang isu teknikal yang melibatkan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, ICU JPM, kerajaan negeri, agensi pelaksana dan pemilik projek diselesaikan segera melalui Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Mengenai inisiatif sekolah vertikal, Anwar berkata, kerajaan komited untuk memperkenalkan pendekatan baharu dalam penyediaan infrastruktur pendidikan, khususnya di kawasan padat seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.
Inisiatif itu, katanya, akan dilaksanakan dengan kerjasama antara pemaju swasta, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti kekal terjamin meskipun berdepan keterbatasan ruang di kawasan bandar.