Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan bahawa Program Matrikulasi merupakan program di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan bukannya KPT.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, KPT menjawab kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Prekas Sampunathan yang didakwa mengelirukan fakta berkait isu kemasukan seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Program Matrikulasi pada baru-baru ini.
“Segala urusan berkaitan dasar pengambilan, penawaran tempat, rayuan dan pengurusan kemasukan ke Program Matrikulasi dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi KPM.
“KPT tidak terlibat dalam proses pemilihan atau penawaran kemasukan ke program tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, tindakan ADUN terbabit yang mengaitkan KPT serta mendesak Menteri Pendidikan Tinggi untuk campur tangan dalam urusan yang bukan di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan adalah tidak tepat, tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan rakyat.
Dalam pada itu, KPT turut menzahirkan rasa kesal apabila isu melibatkan masa depan pelajar digunakan secara tergesa-gesa untuk menyerang pihak tertentu tanpa semakan fakta yang menyeluruh terlebih dahulu.
Sebelum ini, tular video dimuat naik seorang pengguna Tik Tok yang mendakwa anaknya gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi walaupun memperoleh keputusan 11A, sebaliknya hanya menerima tawaran ke politeknik.
Preakas Sampunathan berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menyemak semula kes berkenaan dan memastikan tiada keciciran berlaku dalam sistem pengambilan.
Menurutnya, keadaan seperti itu boleh menjejaskan semangat pelajar yang berusaha keras untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Baca juga:








