Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Isu pecah amanah kekal berakar di dalam institusi negara, walaupun perkembangan semasa berkait penangkapan pelaku gejala itu kian dilihat memberangsangkan.
Memetik Awani, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara perlu melaksanakan pemerhatian yang rapi ke atas semua ahli Kabinet dan setiap jentera kerajaan bagi mengekang sebarang tindakan penyelewengan.
“Malah setiap kali kita menyentuh pemimpin besar atau taikun penting dalam usaha memerangi rasuah, akan ada ‘suara’ yang mempertikaikan keputusan itu,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita selepas menghadiri lawatan pembukaan rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Jelas Perdana Menteri, peranan agensi penguatkuasaan dalam usaha mengekang isu itu wajar diberikan pujian, namun ia belum memadai bagi menamatkan korupsi yang disifatkan sebagai sistemik, bukan sekadar endemik.
“Saya memuji sumbangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen serta agensi lain yang terlibat.
“Jika dibandingkan dengan beberapa tahun sebelumnya, keberkesanan penguatkuasaan kita menunjukkan peningkatan.
“Tetapi kita masih ada isu besar di hadapan kita.
“Pendirian saya jelas, mesej saya juga jelas, kita akan teruskan usaha (memerangi rasuah) ini,” kata Anwar.
Baca juga:








