KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menamakan pemimpin tertentu sebagai pengganti Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai kurang manis dan terlalu awal, kata Naib Pengerusi PKR Johor merangkap Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.
Menurut beliau, perkara itu tidak seharusnya dibangkitkan memandangkan PKR ketika ini mempunyai struktur dan institusi kepimpinan yang jelas, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden serta Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi parti.
“Prinsip utama perjuangan KEADILAN (PKR) sentiasa berpaksikan kepada hormat terhadap suara dan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak, tanpa mengira kedudukan, wajar menghormati institusi kepimpinan sedia ada serta mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan kestabilan dan fokus gerak kerja parti.
Jimmy Puah turut berpandangan bahawa isu berkaitan kepimpinan masa hadapan tidak perlu dibangkitkan buat masa ini dan menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada akar umbi apabila tiba masanya kelak.
“Apabila tiba waktunya, biarlah akar umbi membuat pilihan, dan pimpinan tertinggi akan melaksanakan amanah berdasarkan mandat yang diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan agar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli terus diberi ruang untuk menyuarakan pandangan dan kritikan, khususnya berkaitan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
Menurutnya, kritikan membina seperti isu tunggakan bayaran balik cukai dan isu ekonomi adalah penting bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa ditambah baik demi kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berpendapat Rafizi tidak wajar dikenakan tindakan disiplin oleh parti susulan kritikan kerasnya, sebaliknya bekas timbalan presiden PKR itu perlu terus diberi ruang untuk menyuarakan pandangan kritikal terhadap kerajaan.
Hassan berkata, Rafizi juga boleh diberikan peranan lebih besar tidak lama lagi apabila PKR mengadakan pemilihan parti, termasuk menggantikan Anwar sebagai presiden, manakala Nurul Izzah kekal sebagai timbalan presiden.
Baca juga:








