KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada kajian akademik yang sedang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur tanpa mencetuskan spekulasi atau polemik yang boleh mengelirukan masyarakat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, kajian tersebut telah bermula sejak Disember tahun lalu dengan menggunakan kaedah ilmiah serta standard akademik yang diiktiraf.
“Semua pihak seharusnya menilai isu ini dari sudut disiplin akademik dan berasaskan fakta, tanpa mencetuskan spekulasi atau sentimen yang boleh mengelirukan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sehingga kini tiada keputusan rasmi mengenai pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan sebarang keputusan dasar akan dibincangkan bersama pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Keputusan dasar yang signifikan ini perlu diteliti dengan cermat, mengambil kira semangat penubuhan Wilayah Persekutuan dan sensitiviti pemegang taruh,” katanya.
Azman turut menekankan bahawa perlantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Perlantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur memerlukan perkenan Seri Paduka Baginda, dan sebarang pindaan akta juga melibatkan kuasa Seri Paduka Baginda,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bahawa dapatan kajian UIAM akan dibentangkan kepada Jemaah Kabinet Kerajaan MADANI.
“Sesi libat urus komprehensif dengan pemegang taruh termasuk persatuan penduduk, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan juga akan diadakan bagi memastikan pandangan masyarakat diambil kira,” katanya.








