KUALA LUMPUR: Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan pendekatan Pemuda PAS berhubung Rang Undang-Undang Urban Renewal Act (PSB) sebagai propaganda politik semata-mata tanpa membawa sebarang cadangan konkrit untuk kepentingan rakyat.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faris Arriffin berkata, tindakan Pemuda PAS yang mengadakan protes jalanan tanpa dokumen rasmi atau cadangan teknikal hanya menonjolkan ketandusan idea dalam isu besar melibatkan masa depan penduduk bandar.
“Mereka melaungkan ‘naikkan ambang persetujuan’ atau ‘beri pampasan adil’, tetapi tanpa angka, mekanisme atau model jelas. Malah ada yang menyamakan PSB dengan isu Israel-Palestin. Itu propaganda, bukan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebaliknya, Faris menjelaskan bahawa Kerajaan Perpaduan bersama NGO serta pakar akademik telah tampil dengan cadangan penambahbaikan yang lebih komprehensif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Antara cadangan berkenaan ialah menaikkan ambang persetujuan pemilik kepada 80 peratus untuk semua kategori, menetapkan pampasan minima 130 peratus daripada nilai pasaran termasuk kos pemindahan, serta pemilihan pemaju melalui tender terbuka dan audit berkala.
Turut dicadangkan, pelaksanaan Social dan Traffic Impact Assessment bagi setiap projek, perlindungan tanah rizab Melayu serta wakaf, dan penyelarasan undang-undang dengan Perlembagaan serta Akta Strata 1985.
“Cadangan ini datang dalam bentuk angka, mekanisme dan dokumen rasmi, bukan slogan kosong. Politik anak muda mesti berteraskan solusi, bukan sandiwara,” katanya.
Beliau menambah, lebih dua juta rakyat ketika ini masih tinggal di flat lama dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang uzur, justeru nasib mereka tidak boleh ditentukan dengan retorik politik yang tidak membina.
“Apa yang rakyat perlukan ialah hak pemilik asal dilindungi, pampasan adil diberikan, dan pembaharuan bandar dijalankan secara inklusif serta adil untuk semua,” katanya.
Baca juga: