PETALING JAYA: Pelantikan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi perlu dilihat dalam konteks usaha memperkukuh agenda reformasi pendidikan tinggi di bawah Kerajaan MADANI, bukannya sebagai tanggungjawab individu semata-mata.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Ezal Zamri berkata, kerajaan telah mengambil langkah awal ke arah pendidikan percuma menerusi Belanjawan 2026 khususnya bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurut beliau, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan untuk meringankan beban mahasiswa secara berperingkat dan realistik, selari dengan kemampuan kewangan negara.
“Namun perlu difahami, jawatan Timbalan Menteri bukan penentu mutlak sesuatu dasar kerana keputusan berkaitan PTPTN dibuat secara kolektif di peringkat Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, cabaran sebenar adalah kesediaan semua parti dalam kerajaan termasuk UMNO yang memegang portfolio Menteri Pengajian Tinggi untuk menyokong dan memperluaskan reformasi PTPTN.
“Isu ini tidak wajar dilemparkan kepada individu semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan bersama seluruh Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Kerajaan MADANI memilih pendekatan berfasa dan berhemah dengan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperluas inisiatif pendidikan percuma secara bersasar.







