Isu Rafizi, Anwar ingatkan henti tuduh-menuduh, siasat dakwaan secara adil

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap dakwaan rasuah, termasuk yang mengaitkan bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, perlu disiasat secara telus dan adil tanpa sebarang prejudis.

Perdana Menteri berkata, tiada mana-mana pihak wajar dijatuhkan hukuman atau dikecam sebelum siasatan lengkap dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Jangan ada tuduh-menuduh dalam bulan Ramadan ini. Kalau ada tuduhan, kita siasat dengan baik. Kalau ada bukti salah, dakwa.

“Tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelum siasatan selesai. Ini masalah dalam negara kita. Dengar sahaja orang tuduh, terus melompat dan kecam. Belum tentu benar, nanti jadi fitnah,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheding, Banting.

Anwar menegaskan, beliau terbuka menerima sebarang dakwaan termasuk terhadap kerajaan, namun semua pihak perlu menghormati prinsip keadilan serta proses perundangan.

“Kalau ada dakwaan dan bukti, kita siasat secara telus supaya negara ini kekal teratur.

“Tetapi dalam bulan Ramadan ini, sepatutnya kita beri tumpuan kepada ibadat, bermaafan dan mengeratkan silaturahim,” katanya.

Terdahulu, Rafizi memaklumkan beliau akan menjawab secara terperinci dua tuduhan salah laku yang dikaitkan dengannya, termasuk dakwaan membabitkan kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata penjelasan penuh terhadap tuduhan yang dibangkitkan pempengaruh media sosial, Caprice, akan dibuat menerusi program audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ (YBM) pada jam 10 malam ini.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Rafizi menafikan penglibatan dalam projek solar swasta berskala besar 750 megawatt oleh UEM Lestra, sambil menegaskan projek berkenaan tidak berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi ketika beliau menerajuinya.

Beliau turut menyatakan akan menjawab dakwaan berkaitan perjanjian kerajaan dengan ARM, syarikat semikonduktor antarabangsa, yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Isnin lalu, SPRM mengesahkan telah membuka kertas siasatan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian tersebut dimeterai secara tergesa-gesa dan berpotensi menjejaskan kepentingan kerajaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat